Wan Shakizan Ejen Hartanah

KUD@Putrajaya 2023 sasar sejuta pengunjung, transaksi RM10 juta

Putrajaya 2023 Sasar Sejuta Pengunjung

Pada 22 hingga 26 Nov di Anjung Floria, Putrajaya

Bernama
KUD@Putrajaya 2023 sasar sejuta pengunjung, transaksi RM10 juta
Rubiah dan Ramlan (dua, kanan) ketika hadir menyempurnakan Majlis Prapelancaran KUD@Putrajaya di Sri Pentas, Bandar Utama, 9 Nov 2023. –fotoBERNAMA
PETALING JAYA: Karnival Usahawan Desa KUD@Putrajaya 2023 hujung bulan ini menyasarkan sejuta pengunjung dan akan menghimpunkan lebih 1,000 usahawan dengan sasaran transaksi RM10 juta dalam bentuk tunai serta padanan perniagaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Ramlan Harun berkata penganjuran KUD@Putrajaya 2023 pada 22 hingga 26 Nov di Anjung Floria, Putrajaya akan membawa komponen pelancongan luar bandar sebagai pengisian terbaharu.

 

“KKDW menjemput rakyat seluruh negara untuk hadir ke KUD@Putrajaya selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019. KUD@Putrajaya 2023 kali ini akan melibatkan usahawan desa yang kecil sehinggalah peringkat global.

“Produk yang dibawa melibatkan pelbagai kategori bukan sahaja makanan dan minuman, tetapi juga fesyen, kraf tangan, gaya hidup dan mini showcase perkampungan Orang Asli,” katanya kepada pemberita selepas majlis prapelancaran KUD@Putrajaya 2023 di Sri Pentas di sini semalam.

Majlis prapelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang.
Sementara itu, KKDW menerusi kenyataan memaklumkan komponen pelancongan luar bandar di KUD@Putrajaya 2023 melibatkan pelbagai aktiviti antaranya glamping di tepian Laman Padi sambil menikmati kopi produk usahawan luar bandar.
Turut diadakan gelanggang sukan rakyat yang memberi peluang kepada pengunjung merasai pengalaman bermain batu seremban, boling kelapa dan congkak serta pameran secara maya mengenai rumah Putrajaya bot Tasik Kenyir dan Kelah Sanctuary.
Pameran antaranya melibatkan program sokongan pengukuhan keusahawanan luar bandar, skim pembiayaan ekonomi desa dan program pendigitalan usahawan bersama rakan strategik seperti Shopee, Lazada, Tik Tok dan Boost.
Turut diadakan penerangan, pendaftaran dan pameran oleh institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti UniKL, GiatMARA, Kolej Poly-Tech MARA, Institut Kemahiran MARA, German-Malaysian Institute dan Kolej Agrosains Malaysia.
“Perkhidmatan buggy juga disediakan pada KUD@Putrajaya kali ini setelah mengambil kira keluasan lokasi program untuk diterokai oleh pengunjung serta keprihatinan KKDW terhadap keperluan warga emas, ibu mengandung, kanak-kanak dan Orang Kurang Upaya (OKU),” demikian menurut kenyataan itu.
— BERNAMA
Exit mobile version